Kegagalan
adalah merupakan sesuatu yang menyakitkan terutama kepada mereka yang sentiasa
selesa dalam rutin hidup seharian mereka. Apalagi yang hendak dicari sekiranya makan
pakai, peralatan dan gaji yang diperolehi sudah cukup? Biarlah orang lain
hendak jadi jutawan, biarlah orang lain yang bersusah payah mencari kekayaan,
aku sudah selesa dengan cara hidupku yang sebegini!
Keselesaan
menyebabkan manusia lebih senang menjadi seorang hamba suruhan daripada menjadi
manusia merdeka. Mereka tidak berkeinginan untuk memikirkan masalah, apatah
lagi untuk mencari masalah! Sememangnya manusia sebegini ingin lari dari
masalah tetapi akhirnya masalah itu datang juga dan mereka jadi gagal kerana
langsung tidak bersedia.
Kucing yang hidup dengan selesa kerana disayangi dan dikasihi oleh tuannya, suatu waktu apabila kecantikannya hilang akan berhadapan dengan masalah kerana dibuang dijalanan dan kemudian terpaksa hidup merempat pada ketika tenaga dan keupayaannya sudah sangat berkurang!
Islam yang kita anuti sekarang ini pastinya tidak akan sampai pada kita sekiranya tidak dengan kesungguhan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabi' tabi'in. Bolehkah anda bayangkan bagaimana akan berlaku sekiranya para pendukung Islam tidak ingin keluar berdakwah, tidak ingin mencari masalah dan hanya berkeinginan untuk hidup dengan selesa?
Pernahkah terfikir oleh kita bahawa suatu waktu, ketika kita sudah tua dan tiada pendapatan, kita akan terbuang di rumah jagaan orang-orang tua sepertimana yang berlaku kepada saudara kita di dalam gambar diatas?
Tiada manusia yang dapat lari dari masalah, tiada manusia yang tidak pernah gagal dan selain dari Rasulullah SAW, tiada manusia yang sentiasa sempurna, sentiasa senang dan sentiasa selesa!, Jadi kenapa kita tidak mahu berhadapan dengan masalah?
Amat malang lagi jika akibat dari kesilapan dan kecuaian kita hari ini, yang terpaksa menanggung bebanannya adalah orang-orang yang kita paling sayang.
Bukalah mata, lihatlah dengan dua mata iaitu mata zahir dan mata hati. Ayuhlah kita sama-sama berubah kepada yang lebih baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan