Sabtu, 5 Mei 2012

APA ITU FORMULA 72


Formula 72 digunakan untuk mengetahui masa yang diperlukan untuk sesuatu pelaburan akan memperoleh keuntungan 100%, seperti jika jumlah yang dilaburkan adalah RM1,000.00, jika pelaburan itu memperoleh dividen yang tetap, bilakah pelaburan itu akan menjadi RM2,000.00.

Contohnya:
Apabila anda membuat pelaburan berjumlah RM1,000.00 dan anda diberikan dividen 8%  setiap tahun, dengan kiraan manual kita dapat kirakan dengan cara berikut:-
Tahun    Jumlah Awal        Dividen 8%            Jumlah Akhir
   1         RM1,000.00        RM  80.00             RM1,080.00
   2         RM1,080.00        RM  87.00             RM1,167.00
   3         RM1,167.00        RM  93.00             RM1,260.00
   4         RM1,260.00        RM101.00             RM1,361.00
   5         RM1,361.00        RM109.00             RM1,470.00
   6         RM1,470.00        RM118.00             RM1,588.00
   7         RM1,588.00        RM127.00             RM1,715.00
   8         RM1,715.00        RM137.00             RM1,852.00
   9         RM1,852.00        RM148.00             RM2,000.00

Dari kiraan manual di atas, kita dapati pelaburan asal iaitu RM1,000.00 akan bertambah 100% atau sekali ganda menjadi RM2,000.00 dalam tempoh 9 tahun. Jika kita mengambil tempoh masa iaitu 9 dan anda darabkan dengan dividen iaitu 8 maka anda akan mendapati jumlahnya adalah 72.

Cuba buatkan beberapa kiraan manual yang lain, contohnya untuk 6%, 7%, 9%, 10%. Anda juga akan mendapati bahawa jumlah tempoh jika didarabkan dengan kadar peratus dividen (yang tetap) ianya akan menjadi 72. Dari situ kita boleh buatkannya menjadi satu formula iaitu:-
Kadar Dividen (tetap) x Tempoh (sekali ganda) = 72
atau:            Tempoh untuk jadi sekali ganda = 72 / Kadar Dividen (tetap)
atau:            Kadar Dividen = 72 / Tempoh (sekali ganda)

Dari formula ini, kita boleh gunakannya untuk membuat kiraan-kiraan yang lain. Contohnya untuk RM1,000 menjadi RM2,000 bagi pelaburan yang memberikan dividen tetap 6% ialah 72/6 = 12 tahun.
Atau jika anda ingin mengetahui dividen yang perlu anda dapatkan untuk wang anda berjumlah RM1,000.00 menjadi RM2,000.00 dalam tempoh 8 tahun ialah: 72/8 = 9% bermakna anda perlu mencari pelaburan yang memberikan pulangan dividen 9% setahun untuk anda dapat menggandakan wang anda dari RM1,000.00 menjadi RM2,000.00 dalam masa 8 tahun.

Formula 72 ini adalah merupakan sesuatu yang penting diketahui bagi kita dapat merancang masa depan kedudukan kewangan kita. InsyaAllah kita akan bincangkan kegunaan formula ini pada penulisan akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan